PUTRAJAYA: Arus deras di dasar laut selain jarak penglihatan dalam air terhad akibat dasar laut berlumpur merupakan kesukaran yang dihadapi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam usaha mengesan kotak hitam helikopter jenis AW139 yang melakukan pendaratan cemas di Pulau Angsa, di sini, pada 5 Mac lalu.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, kesukaran itu dikongsi 21 penyelam agensi itu yang terbabit dalam kerja-kerja pencarian.

Beliau berkata, pencarian yang memasuki fasa kedua memfokuskan keluasan lokasi kotak hitam antara 50 sehingga 100 meter radius berpandukan signal daripada 'pinger'.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kotak hitam berkenaan dipercayai berada di sekitar 700 hingga 800 meter dari kawasan pendaratan cemas helikopter itu.

“Bagaimanapun, Maritim Malaysia bagaimanapun positif akan menjumpainya dalam masa terdekat berdasarkan kedudukan terkini dikesan," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Selain penyelam penyelamat Maritim Malaysia, misi pencarian ini turut melibatkan kru sonar PHN TLDM, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd.

Fasa pertama pencarian kotak hitam pesawat berkenaan telah dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 24 Mac lalu dengan lokasi tumpuan adalah di sekitar 1 kilometer radius di kawasan helikopter terbabit melakukan pendaratan cemas.